Empat 'sahabat syurga' ajal bersama

Sinar Harian
Jun 28, 2024 06:15 MYT
Jenazah Ahmad Manan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berumbong, Simpang Renggam, petang semalam. - Foto Sinar Harian
KLUANG: Kesemua empat pemuda yang maut dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Renggam-Simpang Renggam dekat sini pada malam Jumaat diibaratkan sebagai 'sahabat syurga' kerana telah berkawan baik sejak kecil hingga membina kerjaya.
Perkara itu dikongsikan Intan Naimah Zaini, 25, kakak kepada salah seorang mangsa kemalangan berkenaan, Ahmad Manan Zaini, yang maut di tempat kejadian.
"Mereka berempat ini memang bersahabat baik. Boleh kata sahabat syurga sebab dari sekolah rendah, sekolah menengah dan sama-sama bina kerjaya.
"Selain itu, kesemuanya anak tunggal lelaki dalam keluarga masing-masing dan menjadi tempat bergantung harap.
"Kehilangannya memang memberi kesan besar sebab dia adik bongsu saya, anak tunggal lelaki untuk bergantung harap. Lagi pun bapa sudah meninggal dunia ketika saya berusia 13 tahun," katanya.
Intan Naimah berkata demikian kepada pemberita selepas pengebumian tiga mangsa kemalangan berkenaan, termasuk adiknya itu, di Tanah Perkuburan Islam Berumbong, Simpang Renggam petang semalam.
Dua lagi mangsa yang dikebumikan di situ ialah Muhammad Adib Ahmad Shahfarin dan Nor Aminul Fitri Nor Azmi manakala Muhammad Ziyad Azmi disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Purnama, Kampung Batu 7. Kesemua mangsa berusia 21 tahun.
Kemalangan tersebut berlaku selepas kereta Proton Wira yang dinaiki hilang kawalan dan melanggar sebatang tiang elektrik.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, kejadian pada jam 12.18 tengah malam itu mengakibatkan pemandunya, Muhammad Adib dan dua penumpang, Muhammad Ziyad serta Ahmad Manan maut di tempat kejadian.
"Seorang lagi penumpang, Nor Aminul Fitri meninggal dunia semasa mendapat rawatan di zon merah Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini. Semua mangsa cedera parah pada kepala dan badan.
"Semua yang meninggal dunia beralamat di Simpang Renggam. Muhammad Adib Ahmad Shahfarin merupakan penuntut di universiti swasta, Muhammad Ziyad Azmi bekerja sebagai operator Pelabuhan Tanjung Pelepas.
"Ahmad Manan Zaini pula bekerja sebagai penjaga stor di pasar raya 99 Speedmart manakala Nor Aminul Fitri bekerja di bengkel kereta," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ahmad Shahfarin Sulaiman, bapa kepada Muhammad Adib menyifatkan kehilangan anaknya itu sebagai satu kehilangan yang besar.
Katanya, sebelum ini, anaknya itu memang menjadi tulang belakang keluarga kerana sering membantu perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS), selain menghantar dan mengambil adik-adiknya dari sekolah.
"Selalunya, memang dialah yang uruskan semua ini, tapi selepas ini tanpa dia memang beri kesan kepada keluarga.
"Tetapi apakan daya Allah lebih sayangkan dia, saya reda.
"Walaupun reda tapi hati tetap terluka, tetap terasa sebab dia anak lelaki sulung antara adik beradik dia sorang je lelaki. Memang kesan paling besarlah," katanya. - Sinar Harian
#kemalangan maut #empat sahabat maut #kereta langgar tiang elektrik #Simpang Renggam
;