Empat sahabat dituduh bunuh warga emas

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 10, 2023 11:48 MYT
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh K. Tamilselvam, 25; C. Vikkaran, 33; Sarim Omar, 33; dan S. Sureshkumar, 21, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. - Gambar/ Astro AWANI
BALING: Empat sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling hari ini, atas tuduhan membunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Kuala Ketil 1 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh K. Tamilselvam, 25; C. Vikkaran, 33; Sarim Omar, 33; dan S. Sureshkumar, 21, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa secara bersama membunuh S. Kanan, 71, di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil antara jam 3 hingga 4.20 petang 1 Oktober lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dihukum gantung hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan tidak kurang 12 sebatan sekiranya didapati bersalah.
Hakim Najwa Che Mat kemudian menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan kimia.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 2 Oktober lalu, media melaporkan, seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan tangan dan kakinya diikat serta terdapat kesan jerut di leher.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kelibat dua lelaki keluar dari rumah itu dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah jiran mangsa.
#kes bunuh #bunuh warga emas #empat sahabat #mahkamah majistret baling
;