Empat rumah musnah dalam dua kejadian di Batu Gajah, Parit

Abd Razak Mohd Ali
Mac 7, 2023 08:30 MYT
Kebakaran di Batu Gajah melibatkan dua rumah kelas B dengan keluasan 25 X 40 kaki persegi dan 30 X 60 kaki persegi - kedua-duanya terbakar 80 peratus. - Foto JBPM Perak
IPOH: Empat buah rumah musnah dalam dua kebakaran berasingan di Batu Gajah dan Parit, malam tadi.
Kebakaran pertama di Taman Pelangi, Batu Gajah menyebabkan dua buah rumah jenis kelas B musnah 80 peratus manakala dalam kejadian di Kampung Teluk Manis, Parit, dua buah rumah dua tingkat kelas B, musnah 90 peratus.
Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Penolong Penguasa Mohd Norshah Shahri berkata, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran di Taman Pelangi, pada 8.55 malam.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah kelas B, rumah pertama keluasan 25 X 40 kaki persegi dan rumah kedua dengan keluasan 30 X 60 kaki persegi. Kedua-duanya musnah terbakar 80 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan satu aliran 300 kaki dengan dua pancutan air dari tangki jentera dari BBP Seri Iskandar untuk memadamkan kebakaran.
Operasi yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pusing itu tamat jam 11.08 malam.
Sementara itu, pihak bomba menerima panggilan mengenai kebakaran di Kampung Teluk Manis, Parit pada 10.03 malam.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Shamsul Bahrin Sulaiman berkata, kebakaran melibatkan dua buah rumah dua tingkat kelas B dengan keluasan masing-masing 20 X 60 dan 20 X 40 kaki persegi.
“Pemadaman menggunakan dua aliran 400 kaki dengan dua pancutan dari air tangki jentera dan pili bomba sehingga berjaya dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.
Operasi yang turut dibantu anggota dari BBP Ayer Tawar itu tamat jam 12.47 pagi.
#bomba #kebakaran rumah #Batu Gajah #parit
;