Empat rumah kedai dua tingkat musnah terbakar

Sinar Harian
November 22, 2021 05:15 MYT
Api yang sedang marak memusnahkan empat unit rumah kedai dua tingkat dalam kejadian kebakaran di Jalan Sulaimani, di hadapan Pasar Besar Chukai petang Isnin. (Foto: Ihsan Pembaca)
KEMAMAN: Empat buah rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran di Jalan Sulaimani, di hadapan Pasar Besar Chukai pada petang Isnin.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.34 petang.
Beliau berkata, tiga jentera dan sebuah lori tanker dengan kekuatan 34 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman, Kijal dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Tayor dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi didapati kebakaran membabitkan enam deretan kedai dua tingkat berusia lebih 60 tahun sudah terbakar 80 peratus keseluruhannya.
"Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kesemua mangsa sempat keluar dari bangunan tersebut untuk menyelamatkan diri.
"Kepantasan anggota bomba juga berjaya menyelamatkan dua buah lagi kedai di deretan sama daripada terbakar," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azman berkata, faktor cuaca panas, angin kencang dan struktur bangunan yang dibina daripada kayu sepenuhnya menyebabkan api marak serta merebak dengan cepat.
"Struktur bangunan kayu menjadi salah satu faktor kesukaran ketika operasi pemadaman dilakukan kerana berisiko berlakunya runtuhan," jelasnya.
Azman berkata, operasi pemadaman ditamatkan kira-kira jam 6 petang dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
*Berita asal di Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #rumah kedai dua tingkat #musnah dalam kebakaran #Pasar Besar Chukai
;