Empat rumah dinaiki air akibat fenomena air pasang besar
Bernama
Disember 25, 2018 08:01 MYT
Disember 25, 2018 08:01 MYT
Tatkala mereka di tempat lain nampak seronok menunggu fenomena air pasang besar luar biasa, lain pula yang terjadi kepada empat keluarga di Kampung Parit Jambi dan Bagan Laut, Rengit, di sini.
Rumah empat keluarga itu dinaiki air laut sejak pukul 10 pagi Isnin akibat fenomena air pasang besar yang sering berlaku apabila tiba hujung bulan Disember.
Salah seorang penduduk, Zakir Othman, 45, berkata, fenomena air pasang besar ini asalnya fenomena biasa di kalangan mereka yang tinggal di kawasan pantai di sekitar Rengit dan Senggarang, di sini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bagan Laut berkata, fenomena mulai membimbangkan penduduk sekitar apabila ia menjadi semakin serius sejak lima tahun kebelakangan ini.
"Dalam masa berkenaan jugalah air laut mulai masuk ke kawasan kediaman dan juga turut mengakibatkan jalan kampung dinaiki air, sehingga ada di antara kediaman sekitar sini terputus hubungan," katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, pada Isnin.
"Pada fenomena air pasang hari ini (Isnin), empat keluarga terjejas apabila dengan tiba-tiba sahaja air pasang besar ini naik sehingga kira-kira paras peha orang dewasa.
"Jika sebelum ini ketika berlaku air pasang besar, ia hanya melibatkan kawasan kebun sahaja tetapi sejak kebelakangan ini ia semakin serius apabila turut melepasi benteng yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang jaraknya 250 meter dari kediaman penduduk," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Whip Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) Malik Faishal Ahmad berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan akan memaklumkan kepada Pejabat Daerah, JPS dan agensi penyelamat untuk bersiap sedia menghadapi keadaan lebih buruk.
"Daripada tinjauan pagi tadi (Isnin), saya dapati ada bahagian benteng yang pecah dan jika tiada tindakan daripada pihak berkuasa kira-kira 2,000 penduduk sekitar akan berisiko.
"Saya turut berharap kerajaan negeri memandang kepada masalah ini, tindakan yang perlu dilakukan adalah penyelesaian jangka panjang dan bukannya sementara, di mana dalam masa lima tahun ini kira-kira 200 ekar tanah sekitar telah terjejas," katanya.
Sementara itu, tinjauan kira-kira pukul 6.00 petang Isnin mendapati paras air semakin beransur surut, namun fenomena itu dijangka akan berulang pada 27 Disember nanti.
-- BERNAMA
#air laut
#air pasang
#air pasang besar
#Batu Pahat
#benteng pecah
#Kampung Bagan Laut
#Majlis Perbandaran Batu Pahat
#Malik Faishal Ahmad
#rumah