Empat remaja hilang ditemui meninggal dunia dalam sungai

Astro Awani
Februari 17, 2016 05:19 MYT
Beginilah keadaan kereta Honda Accord yang dinaiki mereka ditemui di dalam sungai oleh pekerja ladang berkenaan pada jam 9.20 pagi Rabu. - Foto Astro AWANI
Empat remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam ke Terengganu sejak Rabu lalu ditemui dalam sebuah kereta berhampiran ladang kelapa sawit di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing.
Kereta Honda Accord yang dinaiki mereka ditemui di dalam sungai oleh pekerja ladang berkenaan pada jam 9.20 pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan M Kumar ketika dihubungi memberitahu empat mayat dalam kereta itu dibawa ke Hospital Mersing.
"Polis kini sedang menyiasat dan sedang mendapatkan keterangan daripada keluarga mangsa selepas pengecaman mayat selesai.
"Siasatan awal polis percaya kereta itu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai," katanya.
Keempat-empat mangsa berusia 21 tahun dikenali sebagai Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.
Siasatan polis mendapati mereka bertolak dari Seri Alam, di sini, kira-kira jam 9.30 malam Rabu lalu dengan menaiki kereta Honda Accord menuju ke Terengganu.
Mereka dipercayai melalui jalan Johor Bahru-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk bercuti ke lokasi yang masih belum diketahui secara tepat.
Namun, selepas dua jam bertolak kira-kira jam 11.30 malam, mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit.
#empat remaja lelaki hilang #Kota Tinggi-Mersing #mati dalam kereta #tenggelam dalam sungai