Empat remaja bawah umur ditahan kes rogol gadis OKU

Ridzal Abdullah
Disember 9, 2019 06:32 MYT
Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan empat orang suspek remaja berumur lingkungan 14 hingga 16 tahun. - Foto PDRM
Empat orang remaja tempatan bawah umur ditahan polis pada Ahad lalu kerana disyaki merogol seorang gadis Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 18 tahun.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Sabarudin Rahmat dalam satu kenyataan berkata, laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa pada 8 Disember lalu.
Menurut bapa mangsa, pada hari kejadian, beliau semasa tidur terjaga pada sekitar jam 2 pagi dan mendapati anak perempuannya itu tidak ada di rumah.
Setelah mencari, mangsa yang bisu dan pekak itu akhirnya dijumpainya duduk bersendiri di hadapan rumah bapa mertuanya di salah sebuah ladang kelapa sawit.
"Bapa mangsa kemudian membawa mangsa pulang ke rumah dan mangsa menceritakan menggunakan bahasa isyarat memberitahu bahawa dia telah dirogol oleh beberapa suspek yang dikenali.
"Keesokan hari, bapa mangsa telah membuat laporan polis dan mangsa telah dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan," kata beliau.
Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan empat orang suspek remaja berumur lingkungan 14 hingga 16 tahun.
Hasil awal siasatan mendapati salah seorang suspek memanggil mangsa menggunakan panggilan video pada malam kejadian dan berjumpa dengan kesemua suspek di sebuah pondok kosong 15 meter dari rumah mangsa.
Kesemua suspek direman tujuh hari dari tarikh tangkapan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.
#mangsa #OKU #polis #remaja #rogol #Sabarudin Rahmat #Semporna #siasatan #suspek #video
;