Empat remaja antara 43 individu ditahan, dikenakan kompaun berhibur di pub

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 19, 2021 08:22 MYT
Setiap pelanggan dikompaun RM2,000 setiap seorang manakala pemilik premis termasuk pekerja dikompaun RM25,000. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Empat pelajar di bawah umur antara 43 individu dikenakan ditahan selepas didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemilihan Negara (PPN) Fasa 3.
Operasi dijalankan ke atas tiga premis pusat hiburan di Sungai Petani oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bermula jam 10 malam tadi.
Operasi diketuai Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari, berjaya mengesan empat pelajar bawah umur memasuki pub dan minum arak.
Pemeriksaan ke atas sijil vaksinasi melalui MySejahtera mendapati keempat-empat remaja lelaki berusia 17 tahun ini telah lengkap dua dos suntikan namun belum mencapai dua minggu tempoh matang.
"Kalau dia melancong bersama ibu bapa lain, ini dia mengunjung pusat hiburan pub dan vaksin itu belum matang lagi.
"Ibu bapa perlu mainkan peranan pantau anak-anak ini," katanya.
Dua lagi serbuan di sebuah pub dan pusat karaoke yang terletak bersebelahan mendapati ia tidak mempunyai lesen sah dan menjalankan perniagaan secara haram.
Mohd Roze berkata, berikutan itu, pihaknya mengeluarkan kompaun ke atas 43 individu terdiri daripada pelanggan, pekerja dan pemilik premis.
PelanGgan terdiri daripada lima wanita dan 27 lelaki manakala 11 pekerja dan pemilik premis.
Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 50 tahun didapati melanggar SOP di mana tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan dan tidak mengimbas MySejahtera.
Katanya, setiap pelanggan dikompaun RM2,000 setiap seorang manakala pemilik premis termasuk pekerja dikompaun RM25,000.
Mohd Roze berkata, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda untuk ujian saringan air kencing.
Kes disiasat di bawah peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala pemilik premis diambil tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan negeri Kedah.
"Saya menasihati pemilik pub ini yang mana perniagaan pub dan hiburan masih lagi tidak dibenarkan.
"Jadi saya harap kita patuhlah kepada arahan semasa kerana saya tengok dalam pub ini dan juga dalam karaoke ini langsung tidak mematuhi SOP dan operasi ini akan berterusan dan saya harap kegiatan ini diberhentikan," tegasnya.
Dalam tempoh dua hari ‘Op Pintu’ empat premis diserbu dan sebanyak 138 tangkapan dibuat dan 119 diambil tindakan kerana melanggar SOP PPN Fasa 2 dan 3.
#remaja #kompaun #langgar SOP #pusat hiburan
;