Empat rakyat Malaysia dibebaskan penculik dibawa ke Kota Kinabalu

Bernama
Jun 9, 2016 18:10 MYT
Setibanya mereka dari selatan Filipina, mereka dibawa ke sebuah hotel di sini untuk bertemu dengan anggota keluarga mereka. - Gambar fail
Selepas berjumpa dengan anggota keluarga dan selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di sini hari ini, empat mangsa culik dari Sarawak yang dibebaskan semalam oleh kumpulan militan Abu Sayyaf, dibawa ke
Kota Kinabalu.
Mereka dibawa ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat Polis Diraja Malaysia pagi tadi.
Setibanya mereka dari selatan Filipina, mereka dibawa ke sebuah hotel di sini untuk bertemu dengan anggota keluarga mereka.
Keempat-empat mereka ialah adik beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 34, diculik di perairan Pulau Ligitan, Semporna pada 1 April lepas.
Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi berkata hasil pemeriksaan kesihatan yang dilakukan mendapati mereka dalam keadaan baik.
"Untuk makluman, (keempat-empat mangsa) tidak dibawa ke hospital tetapi pegawai perubatan kami telah menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas keempat-empat mangsa (di hotel) dan kesemua didapati dalam keadaan baik," katanya kepada Bernama.
Hari ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang media di ibu negara berkata empat bekas mangsa culik itu akan dibawa ke Kota Kinabalu untuk diambil keterangan sebaik sahaja mereka selesai menjalani pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, anggota keluarga keempat-empat mangsa turut dibawa ke Kota Kinabalu dengan menaiki penerbangan AirAsia pada tengah hari tadi.
Cubaan Bernama dan media lain untuk menemu bual anggota keluarga berkenaan di Lapangan Terbang Sandakan tidak dapat dibuat selepas mereka yang diiringi polis masuk menerusi pintu kenamaan.
Di Kota Kinabalu, wartawan yang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) juga gagal menemui keluarga mangsa untuk ditemu ramah.
Sebaik sahaja pesawat AirAsia yang membawa mereka dari Sandakan mendarat di KKIA kira-kira 4 petang, kesemua anggota keluarga mangsa dibawa menaiki dua buah kenderaan polis ke destinasi yang tidak diketahui.
Ketika kenderaan berkenaan melalui wartawan, penumpang di dalam dua buah kenderaan berwarna merah berkenaan cuma menundukkan kepala sambil melindungi wajah mereka menggunakan tangan.
#Abu Sayyaf #Ligitan #mangsa culik #PDRM #polis #rakyat Malaysia diculik #Semporna
;