Empat rakan sekerja didakwa bunuh pekerja kelab malam
Sinar Harian
Februari 14, 2024 12:30 MYT
Februari 14, 2024 12:30 MYT
JOHOR BAHRU: Empat rakan sekerja didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pekerja kelab malam di bandar raya ini pada awal bulan ini.
Tertuduh, Poh Kien Huat, 28, Mohamad Ashiq Othman, 31, Wong Sew Hau, 48, dan Lim Wee Huang, 32, dilihat mengangguk faham akan pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa menyebabkan kematian Hah Chun Fail, 24, di sebuah pejabat di tingkat 3, Route 66, Unit 1.01 dan 3.01 Level 1, Plaza DNP, No 59 Jalan Abdullah Tahir di sini, kira-kira jam 11.15 pagi, 4 Februari lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati, hendaklah dikenakan 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina manakala semua tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 21 Mac ini.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Kien Huat dan dua lagi lelaki, Loh Kah Chye serta Lau Ngie Fong didakwa atas tuduhan melakukan pengurungan terhadap mangsa di sebuah bilik di tingkat 1, Pub De Calvary, No 91 Jalan Sutera Tanjung 8/2, Taman Sutera Utama di sini pada jam 2 sehingga 2.20 pagi hari yang sama.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret R Salini.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen memohon mahkamah mengenakan wang jaminan RM50,000 bagi setiap seorang.
Shyue Chien yang mewakili Kah Chye dan Ngie Fong bagaimanapun memohon ikat jaminan dibenarkan dengan jumlah yang rendah dengan alasan anak guamnya menyara ibu mereka yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 21 Mac ini.
Pada 4 Februari lalu, polis menerima maklumat pada jam 4.54 petang, berhubung satu kes bunuh membabitkan seorang lelaki berusia 24 tahun di sebuah kelab malam dekat Jalan Abdullah Tahir di sini.
Susulan laporan itu, seramai 15 lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan bagi membantu siasatan termasuk seorang yang sempat melarikan diri ke Bangkok, Thailand, namun berjaya ditahan sebaik tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), 5 Februari lalu. - Sinar Harian