Empat rakan didakwa simbah cat merah, ugut peminjam wang 'ah long'

Bernama
September 9, 2022 18:24 MYT
Empat rakan dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut, mengurung dan melakukan khianat terhadap 11 peminjam wang. - Google Map / StreetView
KUANTAN: Empat rakan dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut, mengurung dan melakukan khianat terhadap 11 peminjam wang daripada pemberi pinjaman wang tidak sah atau 'ah long'.
Pemandu lori Muhamat Faizul Abu Yamin, 35, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan melibatkan enam mangsa iaitu empat wanita dan dua lelaki dengan merantai pintu pagar rumah mereka, membaling cat merah ke rumah dan kereta serta menampal notis ugutan di rumah mangsa di sekitar daerah Kuantan antara 22 Ogos lepas hingga 1 September lepas.
Mekanik Mohamad Nadzrin Musa, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersubahat dengan Muhamat Faizul mengurung dua wanita sama di sebuah rumah di Taman Balok Jaya di sini pada 31 Ogos lepas dengan cara merantai dan mengunci pintu pagar rumah itu.
Majistret Ainis Abu Hassan Shaari membenarkan Muhamat Faizul diikat jamin RM20,500 bagi semua enam pertuduhan manakala Mohd Nadzrin RM2,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 September untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka.
Sementara itu, Ahmad Fadil Mahmudin, 43, buruh ladang kelapa sawit pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan ugutan jenayah, khianat serta mengurung secara salah seorang wanita lain yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Indera Mahkota di sini pada 26 Ogos.
Majistret membenarkan Ahmad Fadil diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 23 Sept.
Sementara itu, di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah, Muhamat Faizul mengaku bersalah atas empat lagi pertuduhan melakukan ugutan jenayah, khianat dan mengurung secara salah terhadap tiga wanita sama dan satu wanita lain antara 18 April lepas hingga 31 Ogos lepas.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan menampal notis ugutan di hadapan rumah dan menyimbah cat merah ke kereta serta halaman rumah mereka antaranya di Taman Tas Ria dan Bandar Baru Chendor di sini
Pekerja am Muhamad Adam Sait, 35, juga mengaku bersalah atas tiga pertuduhan sama terhadap tiga mangsa lain antara 21 dan 26 Ogos lepas di sekitar daerah ini.
Nurul Farahah membenarkan jaminan RM10,000 terhadap Muhamat Faizul dan RM7,000 ke atas Muhamad Adam sementara menunggu tarikh jatuh hukum pada 27 September ini.
Pertuduhan mengugut dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, Seksyen 342 kanun sama (mengurung secara salah) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 427 kanun sama (melakukan khianat) iaitu hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab, Aini Adilah Muhammad Faizal dan Anuarul Hakim Abdul Muen.
-- BERNAMA
#ugut mangsa #peminjam wang #Ah Long #pinjaman tidak sah
;