Empat pusat urut disyaki terlibat aktiviti pelacuran diarah tutup
Sinar Harian
Jun 29, 2024 17:30 MYT
Jun 29, 2024 17:30 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap empat pusat urut disyaki terlibat aktiviti pelacuran di Kepong pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup empat pusat urut di Kepong yang disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran selepas siasatan dan risikan selama lima hari.
- Premis-premis tersebut dikenakan tindakan tutup serta-merta, barangan perniagaan disita, dan empat notis dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah serta membina struktur sekatan tanpa kelulusan.
- DBKL akan terus memantau lokasi-lokasi tumpuan dan menggalakkan orang awam untuk menyalurkan maklumat melalui laman sesawang Adu@KL di http://adukl.dbkl.gov.my.
DBKL memaklumkan, premis tersebut dikenal pasti menerusi siasatan dan risikan yang dijalankan selama lima hari di kawasan Parlimen berkenaan.
Menurutnya, keempat-empat premis berkenaan telah dikenakan tindakan tutup serta-merta dan barangan perniagaan telah disita.
"Empat notis dikeluarkan di bawah UUK 3(1), Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan perindustrian (WPKL) 2016 atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah.
"Selain itu, sebanyak 57 struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan ke atas empat buah premis tersebut telah dirobohkan di bawah kesalahan Seksyen 79(1), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, barangan yang disita telah dibawa dan disimpan di Setor Jalan Lombong, Cheras, Kuala Lumpur.
Ujarnya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
"Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat laman sesawang Adu@KL di pautan http://adukl.dbkl.gov.my," katanya. - Sinar Harian