Empat projek naik taraf sistem saliran di Kelantan berjumlah RM11.5 juta

Bernama
Julai 3, 2023 05:09 MYT
Nik Nazmi berkata projek-projek ini bertujuan mengatasi masalah banjir kilat di kawasan terbabit bagi melindungi hampir 7,300 penduduk daripada kejadian banjir. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Sebanyak empat projek menaik taraf sistem saliran di Kelantan dengan kos berjumlah RM11.5 juta akan dilaksanakan segera pada pertengahan Julai ini.
Empat projek terlibat bagi membina dan menyiapkan saliran untuk mengelakkan banjir ialah Baruh Kadok ke Pasar Batu 8, Kampung Kota, kawasan belakang Istana negeri Kubang Kerian dan Taman Wadi Iman, Kok Lanas di Kota Bharu.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek-projek ini bertujuan mengatasi masalah banjir kilat di kawasan terbabit bagi melindungi hampir 7,300 penduduk daripada kejadian banjir.
"Projek ini dapat mengatasi masalah banjir kilat pada setiap musim tengkujuh dan hujan lebat berikutan saliran sedia ada tidak sempurna serta terhalang akibat mendapan tanah, saliran tanah di lot persendirian telah dikambus," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja projek membina dan menaik taraf sistem saliran di negeri Kelantan dekat Taman Wadi Iman, Kok Lanas, di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata apabila projek seluas 452 hektar itu siap sepenuhnya pada pertengahan 2024, ia dapat mengurangkan berlakunya kesan banjir di kawasan penempatan penduduk yang terlibat.
-- BERNAMA
#naik taraf sistem saliran #Nik Nazmi #banjir kilat #negeri Kelantan