Empat PPV Integrasi dibuka untuk vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus mulai esok

Bernama
Januari 26, 2022 20:03 MYT
Individu yang ingin hadir secara jumpa terus perlu memastikan sijil vaksinasi digital di dalam aplikasi MySejahtera adalah lengkap bagi melancarkan proses vaksinasi.- Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang akan menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus kepada penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula esok.
Empat PPV Integrasi yang terlibat adalah PPV World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, PPV Axiata Arena, Bukit Jalil; PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam dan PPV Dewan Soka Gakkai, Klang.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia bertujuan mempertingkatkan kadar pengambilan dos penggalak selain memastikan lebih ramai penduduk di Lembah Klang mendapat perlindungan imuniti yang optimum terhadap jangkitan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.
"Vaksin yang diberikan di PPV Integrasi di Lembah Klang adalah vaksin AstraZeneca. Namun begitu, vaksin Pfizer juga akan dibekalkan bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima janji temu atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca," menurut kenyataan itu.
Individu yang ingin hadir secara jumpa terus perlu memastikan sijil vaksinasi digital di dalam aplikasi MySejahtera adalah lengkap bagi melancarkan proses vaksinasi.
Sehingga 25 Jan, seramai 11,119,363 atau 47.5 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.
Liputan vaksinasi dos penggalak bagi penduduk dewasa di Lembah Klang adalah 68.2 peratus, selepas Sarawak yang mencatatkan liputan tertinggi iaitu sebanyak 69.5 peratus.
-- BERNAMA
#dos penggalak #PPV Integerasi #Pusat Pemberian Vaksin #COVID-19
;