Empat peratus lagi untuk benarkan rentas negeri, terus lakukan kawalan kendiri - Khairy
Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 2, 2021 11:07 MYT
Oktober 2, 2021 11:07 MYT
KUALA LUMPUR : Kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan dengan 86.8 peratus populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka.
Dengan perkembangan memberangsangkan itu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus bertanggungjawab terhadap kawalan kendiri.
Menerusi perkongsian di Twitternya, Khairy menjelaskan, hanya empat peratus lagi diperlukan bagi menarik semula larangan rentas negeri.
"Dengan lebih banyak kelonggaran yang diberikan, pastinya aktiviti berkumpulan akan dilakukan. Sehubungan itu, setiap rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing.
"Mereka yang mengalami simptom perlu segera mendapat dan melakukan ujian saringan melalui kit kendiri. Sekiranya didapati positif, segera lakukan proses isolasi," katanya.
Dalam pada itu, Khairy melalui ciapan lain turut mendedahkan pihaknya sedang meniliti perkembangan peningkatan kes harian COVID-19 di negara jiran, Singapura.
"Kita sedang meneliti keadaan yang berlaku di Singapura. Kadar vaksinasi yang tinggi tetapi negara itu turut mencatatkan peningkatan kes.
"Kita perlu bersedia dari segi mental untuk melihat peningkatan kes kembali (di Malaysia) selepas kelonggaran diberikan.
"Apa yang penting adalah untuk lakukan ujian, isolasi dan menyokong kes-kes yang memerlukan penjagaan yang lebih rapi," jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kebimbangan pengguna Twitter berkenaan penularan yang berlaku di Singapura.
Untuk rekod, setakat 1 Oktober, kadar lengkap vaksinasi dalam negara bagi populasi dewasa sudah mencapai 86.8 peratus manakala 94.2 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.