Empat peratus daripada lebih 13,000 kes positif COVID-19 berjaya dikesan menerusi MySejahtera
Fareez Azman
Oktober 17, 2020 13:18 MYT
Oktober 17, 2020 13:18 MYT
KUALA LUMPUR: Empat peratus daripada keseluruhan kes positif COVID-19 di negara ini berjaya dikesan melalui pengesanan kontak aplikasi MySejahtera selain pengesanan secara aktif yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Demikian jelas Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Mahesh Appannan mengenai aplikasi yang dibangunkan kerajaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
"MySejahtera merupakan inovasi teknologi yang telah membantu KKM dalam menangani penularan wabak dana ini berpandukaan tiga prinsip utama pertama penilaian kesihatan kendiri secara sukarela. Keduanya, pengesanan kontak dan ketiga sebagai sumber maklumat yang sahih dari CPRC Kebangsaan.
"Untuk maklumat semua setakat ini hampir empat peratus dari kes keseluruhan telah berjaya dikesan secara langsung melalui penilaian kesihatan kendiri sahaja secara sukarela. Secara tidak langsung, banyak kes telah dikesan melalui MySejahtera.
"Kita ada pengesanan hot spot dan ini merupakan satu fungsi menunjukkan lokasi punca dan potensi kebolehjangkitan COVID-19. Fungsi ini on-demand yang memerlukan pengguna menyemak status dari semasa ke semasa.
Malah sehingga kini, MySejahtera membantu mendapatkan maklumat sahih secara cepat dan tepat kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) sebelum pengesanan kontak dilakukan.
Tambahnya, jika sebelum ini, kes positif COVID-19 berjaya dikesan melalui pengesanan secara aktif dilakukan oleh anggota KKM dan individu yang menjalankan saringan secara sukarela selepas menghidapi simptom.
Bagaimanapun, menerusi MySejahtera pengesanan kontak lebih mudah apabila melibatkan masyarakat.
"Aplikasi MySejahtera secara keseluruhan mempunyai lapan modul dalam usaha membantu KKM membendung penularan COVID-19. Bagi pengesanan kontak kita gunakan modul check-in, di mana semua individu check-in sebelum masuk ke sesuatu premis.
"Secara amnya penggunaan teknologi sebegini akan memudahkan kita untuk mendapatkan senarai kontak yang telah dikesan secara cepat dan tepat berbanding secara manual.
"Masa adalah satu faktor sangat penting untuk kita pastikan penularan dikekang secara cepat dan pendaftaran secara manual mengambil masa agak lama, penggunaan tenaga kerja yang ramai dan secara tidak langsung memberi implikasi kepada kos," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelasnya, aplikasi berkenaan tidak menggunakan teknologi Sistem Pengesanan Lokasi (GPS) secara berterusan untuk memberi notifikasi secara automatik ataupun menjejaki seseorang individu.
Ia kerana ia bertentangan dengan hak peribadi dan polisi KKM. Sebaliknya, matlamat utama aplikasi berkenaan dibangunkan jelas Dr Mahesh adalah bagi memperkasakan komuniti untuk menjadi lebih prihatin terhadap status kesihatan kendiri secara sukarela.
Orang ramai juga ujarnya tidak perlu risau mengenai pengurusan keselamatan data menerusi penggunaan aplikasi, kerana ia ditadbir urus dan dipelihara selaras dengan Akta Perubatan 1971, Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta PDPA 2010.
#Astro Awani
#KKM
#Kementerian Kesihatan
#CPRC Kebangsaan
#pengesanan kontak
#kontak rapat
#Aplikasi My Sejahtera
#keselamatan data
#perubatan
#COVID-19
#pandemik
#rakyat