Empat penerbangan dilencong, 19 ditunda berikutan cuaca buruk di KLIA, KLIA2
Bernama
Disember 13, 2015 23:23 MYT
Disember 13, 2015 23:23 MYT
Empat penerbangan yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa dilencongkan ke dua destinasi lain berikutan cuaca buruk hari ini.
Selain itu, 12 penerbangan ketibaan dan tujuh penerbangan pelepasan ditunda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Jurucakap Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) berkata dua penerbangan yang sepatutnya mendarat di KLIA dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan dua lagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
"Selain itu, satu lagi penerbangan dari Pulau Pinang terpaksa berpatah balik," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun, jurucakap itu berkata beliau tiada maklumat mengenai penerbangan yang ditunda di KLIA2.