Empat pelajar universiti swasta ditahan disyaki edar dadah

Bernama
November 15, 2024 23:57 MYT
Zulkafli berkata kesemua suspek warga tempatan yang berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat pada 1.40 tengah hari. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Polis menahan empat individu termasuk dua wanita yang merupakan pelajar sebuah universiti swasta dan merampas dadah jenis ganja dalam serbuan di Seri Iskandar, semalam.
Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata kesemua suspek warga tempatan yang berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat pada 1.40 tengah hari.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah tersebut menemukan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 1.92 kilogram bernilai RM2,500.
"Dadah itu dipercayai untuk kegunaan mereka sendiri dan juga pengedaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkafli berkata pihaknya turut menyita sebuah kereta Mercedes Benz C200, wang tunai berjumlah RM400 serta seutas rantai leher.
Seorang suspek direman enam hari hingga 20 Nov ini manakala tiga lagi direman lima hari hingga 19 Nov, katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.
-- BERNAMA
#ganja #Mercedes #universiti swasta #warga tempatan
;