Empat pelajar Malaysia ke China, bentang idea belia untuk dunia

Astro Awani
September 2, 2023 23:17 MYT
Delegasi Malaysia akan diwakili oleh Adam Azim Mohamad Rozi, Iman Hakimy Azrui Nizam, Vincent John dan Chan Yi Hao yang merupakan pelajar di beberapa universiti tempatan. - Gambar Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran menghantar empat belia untuk menyertai '2023 Beijing Sister City Youth Camp and BRICS+ Youth Exchange'.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohammad Rizan Hassan berkata, program yang diadakan di China itu akan berlangsung selama 10 hari bermula 3 September 2023 sehingga 12 September 2023.
"Delegasi Malaysia akan diwakili oleh Adam Azim Mohamad Rozi, Iman Hakimy Azrui Nizam, Vincent John dan Chan Yi Hao yang merupakan pelajar di beberapa universiti tempatan.
"Delegasi Malaysia juga akan membuat pembentangan bertajuk 'Youth and Digital City Landmark - Empowering Youth in the New Era New Technology'.
"Pembentangan itu menyentuh usaha menggalakkan belia di seluruh dunia untuk memberi perhatian dan mengambil bahagian dalam mercu tanda bandar yang menunjukkan sejarah, budaya dan pembangunan bandar," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu jelas Mohammad Rizan, menerusi program itu, delegasi Malaysia berpeluang memahami lebih jelas berhubung kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
Tambah beliau, platform itu juga membolehkan mereka menjalinkan hubungan dengan pemimpin-pemimpin muda negara berkenaan.
“Pembentangan dalam program ini juga akan menggalakkan pertukaran silang budaya dan pembelajaran bersama, berfungsi sebagai platform untuk tindakan praktikal bagi sokongan sosial.
“Ia bagi memudahkan pembangunan masyarakat manusia dan komuniti dengan masa depan yang dikongsi bersama untuk manusia,” katanya.
#BRICS #pembangunan masyarakat #tindakan praktikal #sokongan sosial
;