Empat pelajar KTAR maut nahas kemalangan ngeri
Astro Awani
Februari 27, 2014 18:31 MYT
Februari 27, 2014 18:31 MYT
Empat penuntut Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), Kampar, maut dalam kemalangan ngeri, melibatkan sebuah kereta Perodua Viva dan lori yang sarat dengan muatan bitumin, di KM26, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, kira-kira jam 5.00 pagi ini.
Mangsa, tiga wanita dan seorang lelaki, kesemuanya berumur 21 maut di tempat kejadian, kira-kira 500 meter dari persimpangan Gua Tempurung dekat Gopeng.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon memberitahu, mangsa yang maut ialah Thomas Loh Hng Tet, Wong Pei Pei dari Batu Gajah, Ling Yok See dari Manjung Raya dan Koh Suet Mun dari Lahat.
Bercakap pada sidang media di IPD Kampar, beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Perodua viva yang dipandu penuntut lelaki gagal memotong sebuah kereta, lalu bertembung dengan lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Kampar ke Ipoh .
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta ini telah gagal memotong sebuah kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan motor lori yang datang dari arah bertentangan. di tempat kejadian itu adalah selepas satu selekoh dan ada garis berkembar di tengah. dari segi siasatan yang kita buat ke atas pemandu lori tersebut, kita mendapati bahawa beliau mempunyai banyak pelbagai kesalahan lalu lintas kita juga mendapati bahawa beliau telah gagal menjelaskan 14 saman, empat belas saman, 28 kesalahan lalu lintas dan beliau juga dikehendaki oleh IPD Gerik atas kesalahan lalu lintas juga,” .
Supt Ng menambah, polis turut menahan pemandu lori terlibat, Balvinder Singh a/l Indar Singh untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Supt Ng turut mengesahkan kesemua mangsa adalah penuntut semester akhir Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej TAR. Bagaimanapun, beliau menafikan khabar angin kononnya mangsa dalam keadaan mabuk.
Dua jentera bomba dari Balai Kampar dan Gopeng mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa.
Kesemua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kampar bagi proses bedah siasat dan pengecaman identiti oleh ahli keluarga.