Empat pekerja Myanmar dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan bangunan
Bernama
November 9, 2023 11:00 MYT
November 9, 2023 11:00 MYT
KUALA BESUT: Empat pekerja dipercayai warganegara Myanmar dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang sedang dalam pembinaan di sebuah resort di Pulau Perhentian dekat sini pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata kejadian tersebut juga menyebabkan empat lagi pekerja warganegara Myanmar mengalami kecederaan.
"Pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian tersebut pada 7.34 pagi tadi dan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut telah bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya mangsa yang cedera telah dihantar ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk menerima rawatan dan pasukan penyelamat sedang mencari empat lagi mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus.
JBPM juga telah memohon bantuan Unit Anjing Pengesan K9 serta Unit Udara untuk digerakkan ke lokasi kejadian, katanya.
-- BERNAMA