Empat parah kemalangan trak ATM di plaza tol
Shuhada Abdul Kadir
Disember 17, 2022 21:43 MYT
Disember 17, 2022 21:43 MYT
SEREMBAN: Empat anggota Perajurit Muda parah selepas sebuah trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 7.1 Plaza Tol Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 petang itu, trak yang membawa 13 penumpang ke Terminal One, Seremban bagi menghantar kesemua anggota berkenaan pulang bercuti itu dikatakan mengalami masalah brek.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, rempuhan pada bahagian tembok tengah plaza tol tersebut mengakibatkan pemandu berusia 25 tahun serta tiga penumpang cedera parah, manakala lapan lagi turut mengalami kecederaan.
“Trak membawa 13 penumpang yang merupakan Perajurit Muda yang baru selesai tamat latihan asas itu sedang bergerak dari arah Markas 1 Kompeni Angkut Kem Si Rusa, Port Dickson menghala ke Terminal One, Seremban dengan bertujuan menghantar kesemua penumpang untuk pulang bercuti.
“Namun, setiba di tempat kejadian, trak yang berada di lorong kiri tersebut disyaki mengalami kerosakan brek menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh bahagian tembok tengah pembahagi lorong tol,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut ujarnya, dua lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan 12 mangsa terlibat yang berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun, telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban oleh pihak ambulans untuk menerima rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.
#Angkatan Tentera Malaysia
#Plaza Tol Lebuh Raya Seremban-Port Dickson
#Polis Daerah Seremban
#trak ATM