Empat nelayan hilang di laut

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 21, 2022 08:16 MYT
Dua nelayan yang terselamat selepas bot mereka karam di Pulau Kendi, Batu Maung berkongsi maklumat dengan anggota keselamatan. - Gambar ihsan BOMBA
KEPALA BATAS: Tiga nelayan yang keluar menangkap ikan di Pengkalan Nelayan Sungai Tembus, Penaga di sini, dilaporkan hilang sejak semalam.
Mereka dikenali sebagai Mohd Firdaus Samsudin, 30-an, Hazizul Zakaria dan Ruzidi Saad yang masing-masing berusia lingkungan 40-an.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Yusmin Mohd Yusoff dalam satu kenyataan berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kehilangan tiga nelayan terbabit pada pukul 10.46 pagi tadi.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan bagi menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat ketiga-tiga mangsa di lokasi mereka dilaporkan hilang" kata beliau.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya memaklumkan bahawa ketiga-tiga nelayan itu dilaporkan keluar memukat ikan sejak pukul 4 pagi semalam.
Katanya, ketiga-tiga nelayan terbabit biasanya akan pulang kira-kira jam 12 tengah hari, namun sehingga kini masih belum pulang ke jeti dan nasib mereka masih belum diketahui.
"Difahamkan mereka selalu memukat disekitar point 37"55 arah utara dan kemungkinan hanyut ke Langkawi atau Pulau Payar," kata Mohd Yusni.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, tiga nelayan terjatuh ke dalam laut selepas bot yang dinaiki karam akibat dipukul ombak kuat di perairan Pulau Kendi, Batu Maung pada pukul 8.15 pagi tadi.
Bagaimanapun Pegawai Operasi JBPM Pulau Pinang, Mohd Awis Kharni Abdul Rahman memaklumkan dua daripada nelayan tersebut berjaya diselamatkan manakala seorang lagi yang dipercayai tekong bot belum ditemui.
"Operasi SAR dijalankan di kawasan perairan Pulau Kendi bagi mencari seorang lagi yang masih hilang" katanya.
Mereka yang berjaya ditemui adalah Tan Soon Gin, 30-an dan warga Thailand, Pai San Chu Kaw, 40-an sementara tekong bot yang belum dikenal pasti namanya masih hilang.
#empat nelayan #hilang di laut #Pulau Kendi #penaga