Empat nelayan ditahan bersama hablur kristal disyaki dadah

Abd Razak Mohd Ali
Mac 1, 2023 13:38 MYT
Paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal dirampas disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.
KERIAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat nelayan di kedudukan 1.56 batu nautika barat laut Kuala Terong, Perak, sekitar jam 11.15 pagi semalam.
Maritim Malaysia turut merampas beberapa paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot nelayan jenis gentian kaca sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia, bot itu nekad meloloskan diri namun berjaya dipintas.
“Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru nelayan warga Myanmar dan seorang kru warga tempatan yang merupakan tekong berumur antara 25 hingga 60 tahun berada di atas bot.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, ketiga-tiga kru nelayan warga Myanmar itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Selain itu, bot juga tidak memiliki lesen yang sah dan sebanyak 100 unit bubu naga dianggarkan bernilai RM7,000 dengan nilai RM70 seunit turut ditemukan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua nelayan, bot dan bubu naga ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau.
Tambahnya, tindakan tekong berusaha untuk meloloskan diri telah mendorong Maritim Malaysia untuk melakukan pemeriksaan lanjut di jeti.
Katanya, hasil pemeriksaan pada barangan peribadi kesemua nelayan, menemukan beberapa paket plastik lut sinar yang mengandungi hablur kristal dianggarkan seberat 60 gram, disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Hablur kristal yang dianggarkan bernilai RM8,400 dengan nilai RM140 untuk setiap gram itu telah dirampas untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 11 (3)(b) Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.
#Maritim Malaysia #Kuala Terong #methamphetamine #perairan Kerian dan Larut Matang
;