Empat maut terbakar dua kereta bertembung di Kota Tinggi
Bernama
Disember 25, 2015 12:52 MYT
Disember 25, 2015 12:52 MYT
Seorang lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak maut dalam dua kereta yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di jambatan Sungai Dohol, dekat Kota Tinggi, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd Rizal Buang berkata kereta jenis Land Rover dan Toyota Corolla itu telah bertembung sebelum terbakar dalam kejadian kira-kira 7 pagi.
"Seorang wanita ditemui rentung di dalam kereta Toyota Corolla itu manakala satu keluarga dari Singapura terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti jantinanya ditemui rentung di dalam Land Rover terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Rizal berkata terdapat seorang lagi kanak-kanak di dalam Land Rover berkenaan dan dia yang diselamatkan oleh orang awam dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan.
Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Land Rover yang dalam perjalanan ke Mersing telah melanggar papan tanda jambatan Sungai Dohol lalu terbabas ke arah bertentangan dan bertembung dengan kereta Toyota Corolla.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi bersama-sama lima anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada 7.23 pagi bagi operasi menyelamat.