Empat maut, dua pacuan empat roda bertembung

Muhafandi Muhamad
April 27, 2024 15:28 MYT
Keadaan kedua-dua pacuan empat roda yang bertembung di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, malam tadi. - Gambar/ PDRM
GUA MUSANG: Empat individu maut apabila dua pacuan empat roda bertembung di Kilometer 78, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini tengah malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, tiga lelaki dan seorang wanita maut, manakala empat penumpang lain parah.
"Siasatan awal polis mendapati pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah Ipoh ke Machang yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dikatakan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
"Ia kemudian bertembung dengan sebuah lagi pacuan empat roda Ford Ranger dipandu seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun.
"Akibat pelanggaran tersebut, pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux maut di tempat kejadian. Seorang penumpang pacuan Ford Ranger turut maut di lokasi, manakala pemandunya disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai tidak lama kemudian," katanya.
Mazlan berkata, kedua-dua kenderaan terlibat dinaiki lapan individu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan maut #Gua Musang #pacuan empat roda bertembung #Kelantan
;