Empat mati lemas, tiga hilang kejadian bot karam di perairan Selangor
Bernama
Julai 17, 2015 11:52 MYT
Julai 17, 2015 11:52 MYT
Empat mati lemas dan tiga hilang selepas sebuah bot yang membawa 14 orang karam dekat sini semasa upacara membuang abu mayat anggota keluarga di laut malam tadi, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.
Penolong Pengarahnya Mohd Sani Harul berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 7.05 malam berhampiran sebuah boya kira-kira dua batu nautika dari pantai bagan Sungai Kajang.
Sebanyak 12 anggota bomba dan anggota penyelamat yang dikerahkan ke tempat kejadian menemukan mayat tiga wanita dan seorang lelaki manakala enam lelaki dan seorang wanita diselamatkan sebuah bot nelayan, katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp kepada Bernama.
"Tiga lelaki hilang dalam kejadian itu. Pemandu bot yang diselamatkan dalam kejadian itu, keadaannya agak kritikal dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh," katanya.
Kesemua mayat yang ditemukan telah diserahkan kepada pihak polis, katanya dan menurutnya punca bot itu karam masih belum dikenal pasti.
Mohd Sani berkata operasi bersepadu mencari tiga lelaki yang hilang disambung pagi ini dengan bantuan anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.