Empat lelaki terlibat cubaan samun di lebuh raya diberkas

Sinar Harian
Ogos 8, 2024 00:40 MYT
Menurut Hussein, polis menghargai usaha orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga kesemua suspek berjaya ditumpaskan. - Gambar fail/Sinar Harian
SUBANG JAYA: Empat individu yang diburu selepas cuba menyamun sebuah kereta berhampiran stesen minyak di Lebuhraya Kesas arah USJ, Subang Jaya diberkas pada Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu ditahan menerusi operasi yang dijalankan kira-kira jam 5.30 petang.
"Kesemua suspek berumur antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
"Empat suspek yang turut memiliki pelbagai rekod jenayah dan dadah itu ditahan di sekitar Klang dan Shah Alam," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Nissan Almera dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135.
"Kesemua suspek ini akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam bagi permohonan reman.
"Polis percaya kesemua suspek ini adalah individu yang terlibat dalam kejadian cubaan samun berkenaan sebagaimana yang dilaporkan oleh mangsa," katanya.
Menurutnya, polis turut menghargai usaha orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga kesemua suspek berjaya ditumpaskan.
"Orang ramai dialukan untuk sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan kes jenayah kepada pihak polis," katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan empat lelaki dipercayai cuba menyamun sebuah kereta berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas arah USJ, Subang Jaya dekat sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pada jam 1.37 pagi.
Beliau berkata, mangsa dipercayai cuba disamun oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan kayu. - Sinar Harian
#Hussein Omar Khan #samun kereta #stesen minyak #Lebuhraya Kesas