Empat lelaki mabuk ganggu tugas polis ditahan

Astro Awani
Oktober 16, 2020 23:36 MYT
Pihaknya menerima maklumat terdapat sekumpulan lelaki sedang mabuk dan membuat bising dengan memasang muzik yang kuat di tempat kejadian.
MUALLIM: Empat lelaki mabuk ditahan selepas bertindak melakukan provokasi dengan menghalang tugas penjawat awam di Plaza Tol Slim River pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman dalam satu kenyataan, lelaki berusia di antara 25 hingga 41 tahun itu ditangkap anggota unit peronda polis (MPV) Muallim dalam kejadian pada jam 3.30 pagi.
Pihaknya menerima maklumat terdapat sekumpulan lelaki sedang mabuk dan membuat bising dengan memasang muzik yang kuat di tempat kejadian.
Setibanya di lokasi, didapati empat lelaki sedang mabuk dan berada di luar kereta yang diletakkan di tepi jalan.
Anggota MPV telah memberi nasihat agar mereka beredar dan tidak membuat bising.
Bagaimanapun dua daripada mereka mengamuk dan menyerang anggota tersebut dengan menolak badan serta mengeluarkan kata-kata kesat.
Salah seorang suspek juga bertindak merakam video dan cuba membuat provokasi ke atas anggota polis.
Siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 4b(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Ujian air kencing ke atas kesemua suspek adalah negatif dan mereka direman tiga hari sehingga Ahad dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, video mengenai kejadian itu tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki melakukan provokasi terhadap seorang anggota polis.
#polis #penjawat awam #mabuk #ditahan #unit peronda polis #MPV #Ketua Polis Daerah Muallim #Plaza Tol Slim River
;