Empat lelaki larikan barang kemas pelanggan kedai
Bernama
Ogos 19, 2024 23:19 MYT
Ogos 19, 2024 23:19 MYT
SHAH ALAM: Tiga pelanggan sebuah kedai menjual barangan perkahwinan dan menjahit di sini kerugian kira-kira RM22,000 selepas barang kemas mereka disamun, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian pada 12.25 tengah hari itu, empat lelaki bertopi keledar dan bertopeng masuk ke kedai berkenaan dengan bersenjatakan sebilah parang dan pisau.
Beliau berkata ketika kejadian, terdapat empat pelanggan dan tiga pekerja di dalam kedai itu.
"Suspek mengambil masa lebih kurang tujuh minit untuk melakukan samun dengan kerugian dialami pihak kedai adalah wang tunai berjumlah RM1,000, manakala barang kemas tiga pelanggan perempuan dilarikan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata mangsa tidak mengalami kecederaan dan polis kini giat mengesan kesemua suspek yang berumur antara 30 hingga 40 tahun.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup berdurasi dua minit empat saat memaparkan situasi di sebuah kedai yang secara tiba-tiba diserbu empat lelaki.
-- BERNAMA