Empat lelaki ditahan terlibat penipuan program RTK - Imigresen
Bernama
April 19, 2022 05:15 MYT
April 19, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK), yang mengaut keuntungan mencecah RM2 juta.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 47 tahun itu, ditahan di sebuah premis di sini, Jumaat lepas bersama 264 pasport pelbagai negara seperti Bangladesh, Indonesia dan India, yang dipercayai cuba didaftarkan dalam program RTK.
Beliau berkata pihaknya turut merampas wang tunai RM7,270, dipercayai sebahagian hasil kutipan transaksi harian dari kegiatan berkenaan.
"Sindiket ini didapati menjalankan aktiviti menyerupai syarikat outsourcing yang telah dimansuhkan, dengan menggunakan beberapa syarikat tidak aktif (dorman) untuk mendapatkan kuota pekerja asing di bawah program RTK," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya sindiket itu menjadikan premis syarikat pelancongan sebagai lokasi pendaftaran, pengumpulan pasport dan penerimaan bayaran dari warga asing untuk menyertai program RTK.
Khairul Dzaimee berkata khidmat pekerja asing yang berjaya didaftar akan ditawarkan kepada mana-mana individu atau syarikat, yang memerlukan pekerja asing dengan bayaran tertentu.
"Pihak sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,500 hingga RM8,000 seorang, bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pelbagai sektor melalui program berkenaan," katanya.
Beliau berkata berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket terbabit dipercayai berjaya mengaut keuntungan mencecah RM2 juta melalui caj yang dikenakan ke atas pekerja asing, syarikat atau individu yang menjadi pelanggan mereka.
Khairul Dzaimee berkata kesemua tahanan dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
-- BERNAMA