Empat lelaki ditahan edar syabu sekitar KL

Bernama
September 21, 2022 17:32 MYT
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata kesemua suspek berusia 34 hingga 43 tahun itu ditahan bersama syabu seberat 5.4 kilogram yang dianggarkan bernilai RM193,680. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis syabu di ibu negara susulan penahanan empat lelaki menerusi serbuan di kawasan tempat letak kereta di Taman Seri Sentosa, di sini, Isnin lepas.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata kesemua suspek berusia 34 hingga 43 tahun itu ditahan bersama syabu seberat 5.4 kilogram yang dianggarkan bernilai RM193,680.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak empat bulan lepas itu mendapatkan bekalan daripada sebuah negeri di utara Semenanjung dan membekalkan dadah kepada individu dikenali sahaja.
"Semua individu ditahan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sekitar Kuala Lumpur sebagai punca pendapatan utama.
"Hasil semakan mendapati tiga daripada empat individu ditahan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan narkotik dan jenayah serta positif dadah jenis ganja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata empat individu itu direman tujuh hari sehingga 26 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
#edar syabu #edar dadah #sindiket pengedaran dadah #Taman Seri Sentosa #Akta Dadah Berbahaya
;