Empat lelaki ditahan disyaki sindiket tipu tawaran kerja
Sinar Harian
September 23, 2021 05:15 MYT
September 23, 2021 05:15 MYT
BENTONG: Polis Bentong menahan empat lelaki dipercayai terlibat sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian e-dagang pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, empat suspek terbabit ditangkap ketika serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah apartment di daerah berkenaan.
"Hasil siasatan awal, kesemua lelaki terdiri daripada warganegara tempatan berusia 20 hingga 29 tahun tersebut terbabit dalam sindiket yang beroperasi sejak awal September.
"Modus operandi adalah menawarkan peluang pekerjaan sampingan wang mudah kepada orang awam untuk menjadi ejen pembelian dalam talian di pelbagai platform hab beli belah.
"Suspek menggunakan Facebook untuk mengiklankan tawaran kerja ini dan mangsa yang tertarik dengan tawaran akan menghubungi suspek melalui nombor telefon di aplikasi Whatsapp yang akan disediakan suspek dalam ruangan iklan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, suspek memperdayakan mangsa dengan menjanjikan bayaran yang dibuat oleh mangsa akan dipulangkan balik bersama komisen pembelian bergantung kepada jumlah bayaran mangsa.
Tambahnya, setelah mangsa membuat pembayaran ke dalam akaun diberikan, suspek akan menyekat mangsa dari menghubunginya semula.
Menurut Zaiham, antara barangan dirampas dalam serbuan adalah telefon bimbit, kad sim dan komputer dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM13,350.
"Kesemua suspek direman dua hari bermula hari ini (Khamis). Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian