Empat lelaki ditahan bersama senjata api, 801 butir peluru

Bernama
Januari 28, 2025 18:24 MYT
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad menunjukkan selaras senapang M4 pada sidang media di Markas Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Polis menahan empat lelaki termasuk dua warga Indonesia dan merampas lima pucuk pistol, selaras senapang M4 serta 801 butir peluru dalam sebuah bot di kawasan perairan Perai di 1 batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai, dekat sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata bertindak atas maklumat dan risikan, Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban telah menahan dua buah bot fiber gentian kaca yang tiada nombor pendaftaran dan dalam mencurigakan pada 3.10 petang.
"Kedua-dua bot itu dari arah Pelabuhan Pulau Pinang menuju ke Jambatan Pulau Pinang dan pasukan polis marin mengarahkan bot-bot tersebut berhenti untuk diperiksa. Hasil pemeriksaan telah menahan dua lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia yang kesemuanya berusia 22 hingga 57 tahun.
Beliau memaklumkan polis turut merampas pelbagai lagi barangan dalam bot yang sama, antaranya telefon satelit, telefon bimbit, beg, peralatan GPS, wang tunai sebanyak RM4,030 dan dua passport milik dua warga asing tersebut dalam operasi khas Tahun Baharu Cina Fasa Dua 2025.
Hamzah berkata berdasarkan siasatan awal, dua lelaki warga asing itu masuk ke negara ini melalui laluan sah, sebelum ke Thailand melalui jalan laut untuk mengambil semua senjata api tersebut dipercayai dilakukan di perairan antarabangsa.
Beliau berkata kesemua senjata api itu kemudiannya dibawa masuk ke negara ini dan dijual kepada pembeli di sini, yang dipercayai untuk kegiatan jenayah serta ke arah jenayah keganasan.
"Empat individu yang bekerja sebagai nelayan itu merupakan ahli sindiket penyeludupan senjata api antarabangsa, serta dipercayai ini kali pertama mereka menjalankan kegiatan jual beli senjata api tersebut di negara ini.
"Mereka dipercayai menyewa kedua-dua bot tanpa nombor pendaftaran itu di sini dan kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian penyeludupan serta mereka yang terlibat dalam urusan jual beli senjata api tersebut," katanya bot dinaiki dua lelaki tempatan itu tiada barang salah.
Berdasarkan siasatan polis, beliau berkata pihaknya percaya kes itu adalah kes terpencil dan tiada kaitan dengan perayaan Tahun Baharu Cina, Thaipusam atau Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Hamzah berkata semua keempat lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 3 Feb bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37).
-- BERNAMA
#Tahun Baharu Cina #warga asing #penalti #nelayan
;