Empat lelaki didakwa culik seorang suri rumah
Bernama
Mac 27, 2017 11:58 MYT
Mac 27, 2017 11:58 MYT
Tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki rakyat Indonesia dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang suri rumah di Bandar Putra, di sini, hujung bulan lepas.
Beh Joo Siong, 31, Lee Fa Xian, 30, Soh Wei Lon, 35 dan Agustinu Ratu, 39, mengangguk memahami pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu di hadapan Majistret Azlan Bohari, namun, tiada pengakuan direkodkan.
Keempat-empat mereka bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa dengan niat hendak membuat tebusan, telah menculik wanita berumur 44 tahun itu, serta mengurungnya di sebuah rumah kosong di Kampung Lepau, Pelantar Pengerang dekat Kota Tinggi sehingga suaminya membayar wang tebusan sebanyak 5 juta dolar Singapura.
Kesemua mereka didakwa menculik wanita terbabit di sebuah rumah di Jalan Nuri 26, Bandar Putra, di sini, kira-kira 7 malam, 21 Feb lepas.
Beh, Lee dan Soh yang berasal dari negeri ini manakala Agustinus Ratu yang berasal dari Batam, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesemua mereka yang tidak diwakili peguam, boleh dikenakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan jika dikenakan hukuman penjara, boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham yang memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap mereka kerana melibatkan hukuman mandatori.
Mahkamah menetapkan 26 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
-- BERNAMA