Empat lelaki diberkas terlibat kes pecah gudang di Ipoh

Abd Razak Mohd Ali
Februari 16, 2022 22:14 MYT
Polis sedang memburu suspek utama yang masih bebas, S Yogentheren, dengan alamat terakhir di No. 16, Dataran Tasek Timur 12, Taman Maju Bercham, Ipoh.
IPOH: Polis berjaya memberkas empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah gudang dan mencuri peralatan pembinaan bernilai RM800,000, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kesemua lelaki tempatan itu, yang berumur antara 42 dan 58 tahun, direman seminggu bermula semalam hingga 22 Feb ini.
Menurutnya, polis turut merampas kenderaan dan peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.
“Di samping itu, pihak polis turut merampas barangan besi seberat 7,310 kilogram yang disyaki dicuri kumpulan penjenayah itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi.
Pada masa sama, kata Yahaya, polis sedang memburu suspek utama yang masih bebas.
Suspek, S Yogentheren, 40 tahun, dengan alamat terakhir di No. 16, Dataran Tasek Timur 12, Taman Maju Bercham, Ipoh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek atau pernah membeli barangan daripadanya diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Norshaharah Marzuki di talian 017-4817800.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
#polis #pecah gudang #suspek #curi peralatan pembinaan