Empat lagi lokaliti di Sabah dikenakan PKPD bermula 3 September

Hasimi Muhamad
September 1, 2021 18:24 MYT
Empat lagi lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 3 hingga 16 September ini - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak empat lagi lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 3 hingga 16 September ini.
Justeru, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan-kawasan tersebut adalah sama seperti diumumkan sebelum ini.
Menurut beliau, kawasan-kawasan tersebut ialah Perumahan Pekerja Ladang Mayvin 2, Telupid; Kampung Tagaroh, Kota Marudu; Kilang dan Kuarters Kilang Papan Cargo Timber, Kampung Biah, Keningau; serta Kampung Dumpiring Bawah, Ranau.
Rodzi turut memaklumkan lima lokaliti melibatkan Johor dan Sabah akan ditamatkan PKPD berkuat-kuasa pada Khamis.
"Di Johor, melibatkan Ladang Sungai Kahang, Kluang yang dikenakan PKPD pada 20 Ogos lalu.
"Sementara Sabah pula, membabitkan Kampung Tanjong Pagar, Sipitang; Kampung Padang Tembak, Keningau, Kampung Jawa, Tawau, serta Setinggan Kampung Baru Luyang, Penampang," jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Sementara itu, setakat hari ini, tiada mana-mana kawasan yang dilanjutkan PKPD.
#PKPD #Sabah PKPD #COVID-19 #MCO 3 0 #berita hari ini
;