Empat kenderaan rosak dilanggar bas mengundur sendiri
Sinar Harian
Mei 31, 2022 08:50 MYT
Mei 31, 2022 08:50 MYT
BENTONG: Sebanyak empat buah kenderaan rosak selepas sebuah bas yang sedang diparkir tiba-tiba mengundur sendiri lalu melanggar kenderaan berkenaan di pekan Goh Tong Jaya dekat Genting Highlands di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, bas tersebut diletakkan di hadapan sebuah hotel dengan empat kenderaan diletakkan di tempat letak kereta.
Menurutnya, bas tersebut milik sebuah institut pendidikan perguruan di Kuala Terengganu manakala empat kenderaan yang terlibat terdiri sebuah pacuan empat roda, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kereta.
"Hasil siasatan polis mendapati bas tersebut telah diletakkan di hadapan hotel dalam keadaan enjin dimatikan kira-kira jam 5 petang.
"Pemandu bas berusia 60 tahun yang merupakan lelaki tempatan telah keluar untuk beriadah.
"Pada jam lebih kurang 6 petang, bas itu dipercayai bergerak sendiri secara mengundur dan melanggar empat kenderaan tersebut yang diletakkan di tepi jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, kejadian menyebabkan empat kenderaan itu rosak dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan serta rakaman kejadian tersebut turut tular di media sosial.
"Kes disiasat mengikut Rule 14(1)(B) LN 166/59 iaitu tidak memasang brek tatkala meninggalkan kenderaan.
"Kita mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian ini untuk tampil membantu siasatan," tambahnya.
*Berita asal di Sinar Harian