Empat kementerian bincang strategi, pelan pelaksanaan rangkaian kedua 5G - Fahmi

Bernama
Jun 1, 2024 07:15 MYT
Dari kiri, Gobind Singh, Fahmi Amir Hamzah dan Tengku Zafrul ketika hadir pada perbincangan bagi merangka strategi serta pelan tindakan dalam pelaksanaan rangkaian kedua 5G semalam. - Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Perbincangan menyeluruh antara empat kementerian utama dilaksanakan bagi merangka strategi serta pelan tindakan dalam pelaksanaan rangkaian kedua 5G (Dual Network), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perbincangan berlangsung petang semalam melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Katanya perbincangan tertumpu kepada fungsi serta peranan keempat-empat kementerian utama itu dalam menjayakan pelaksanaan rangkaian itu.
"Kerajaan komited untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G serta akan memastikan kemapanan ekosistem telekomunikasi dengan matlamat mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi serta kualiti hidup rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Selain Fahmi, perbincangan itu disertai Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
-- BERNAMA
#5G Kedua #Dual Network #Fahmi Fadzil #rangkaian kedua 5G
;