Empat keluarga hilang tempat tinggal rumah terbakar

Fadilah Sulaiman
Februari 1, 2022 09:37 MYT
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 2.05 pagi sementara operasi ditamatkan pada jam 3.52 pagi. - Astro AWANI
SIBU: Harapan untuk menikmati kemakmuran tahun harimau menjadi sirna apabila empat keluarga terlibat dalam tragedi kebakaran di bandar ini awal pagi Selasa.
Kebakaran berlaku pada awal pagi, selepas bandar ini dimeriahkan dengan letupan dan letusan mercun serta bunga api, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii ketika mengesahkan kejadian berkata, insiden berlaku di Taman Permy Jaya, dipercayai bermula seawal jam 1.13 pagi.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, api dipercayai bermula daripada sebuah kereta di kawasan garaj rumah Ho Boon Seng.
“Ia kemudian merebak sehingga meranap 70 peratus rumahnya yang menempatkan tiga lagi lelaki dewasa dan empat perempuan dewasa.
Sejurus menerima laporan ujarnya, dua jentera dengan kekuatan, 28 anggota dari balai Sungai Merah dan Sibu Sentral telah diaktifkan ke lokasi.
“Pada awalnya kami menerima laporan kebakaran kereta namun api telah merebak ke tiga rumah bersebelahan.
Komander Operasi kata Ling Hii, telah mengarahkan teknik pemadaman ofensif serta defensif, menggunakan hos aliran 300 kaki dengan pecahan dua nozel, serta satu aliran hos 200 kaki satu nozel dari tangki jentera dan sumber pili bomba terdekat.
Siasatan awal katanya, mendapati sejumlah tiga kereta serta dua motosikal musnah seratus peratus namun tiada kecederaan mangsa dilaporkan.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 2.05 pagi sementara operasi ditamatkan pada jam 3.52 pagi.
Punca kebakaran dan taksir kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran.
#Tahun Baru Cina #kebakaran #bomba #Kemusnahan
;