Empat kampung di Tanah Merah dijangka banjir hari ini hingga 27 Feb

Bernama
Februari 25, 2025 15:30 MYT
JPS mengeluarkan amaran itu susulan ramalan aras air sungai dan status semasa sungai yang diramalkan naik dan melebihi paras bahaya. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Empat kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran lembangan Sungai Golok di Tanah Merah dijangka mengalami banjir mulai hari ini hingga Khamis (27 Feb).
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia mengeluarkan kenyataan amaran itu susulan ramalan aras air sungai dan status semasa air sungai yang diramalkan naik dan melebihi paras bahaya.
"Empat kampung dijangka dilanda banjir ialah Kampung Jenob, Kampung Nibong, Kampung Renab dan Kampung Air Bujing bermula 6 petang hari ini hingga 12 tengah malam, pada 27 Feb," menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut portal infobanjir.water.gov.my, JPS merekodkan sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas melepasi paras bahaya iaitu 9.2 meter (m) manakala Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah berada pada paras amaran iaitu 23.05 m.
Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar jajahan Kuala Krai hari ini mendapati beberapa kampung turut dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam antaranya Kampung Chenulang, Kampung Kuala Pertang dan Kampung Bedal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kuala Pertang Adnan Mat Yassin berkata beberapa laluan masuk ke kampung itu mula dinaiki air kira-kira 11 malam semalam hingga menjejaskan urusan penduduk untuk pergi bekerja dan menghantar anak ke sekolah.
-- BERNAMA
#anah Merah dijangka banjir #Sungai Golok #Jabatan Pengairan dan Saliran #melebihi paras bahaya #terkini
;