Empat individu termasuk dua rakyat Malaysia ditahan seberang Sungai Golok secara haram
Bernama
Disember 8, 2024 17:45 MYT
Disember 8, 2024 17:45 MYT
PASIR MAS: Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan selepas disyaki menyeberang sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata masing-masing dua warga Malaysia dan Thailand berusia 33 hingga 50 tahun itu ditahan di lokasi berasingan di pangkalan haram di Rantau Panjang.
Beliau berkata mereka adalah kumpulan pertama ditangkap sejak pelaksanaan larangan rakyat Malaysia merentasi sempadan itu secara haram yang berkuat kuasa pada 1 Dis lepas.
“Saya difahamkan memang ada sedikit ketidakpuasan (pelaksanaan larangan rentasi sempadan secara haram) tetapi perkara ini telah lama berlaku.
”Sekiranya tidak ada tindakan diambil, ia akan berterusan dan kita hendak mereka ikut undang-undang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan menerima taklimat banjir di Pos Kawalan Tempat Kejadian daripada Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat di Pondok Polis Repek di sini hari ini.
Ayob Khan berkata kesemua empat individu itu kini direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut termasuk motif mereka menyeberang sungai berkenaan secara haram.
Beliau berkata dua rakyat Malaysia berkenaan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 manakala dua rakyat Thailand pula di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai pasukan Senoi Praaq yang akan membantu menjaga sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, Ayob Khan berkata mereka akan mula bertugas pada 1 Jan ini.
Pasukan Senoi Praaq itu katanya akan membantu keanggotaan sedia ada dalam memperkukuh kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis akan menahan rakyat Malaysia yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand mulai 1 Dis.
Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara selama setahun, jika disabit kesalahan.
-- BERNAMA