Empat individu ditahan reman empat hari bantu siasatan kes bauksit
Bernama
Januari 21, 2016 07:30 MYT
Januari 21, 2016 07:30 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis mendapat perintah tahanan reman selama empat hari terhadap empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah perlombongan bauksit di Pahang.
SPRM, dalam kenyataan, berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Eric Lau terhadap individu-individu tersebut termasuk seorang wanita yang dikatakan bekerja di sebuah syarikat perlombongan.
Tiga individu lain adalah bekas pegawai kanan di Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Pahang, yang kini seorang ahli perniagaan, seorang pegawai kanan JMG Pahang dan seorang peguam.
SPRM berkata kesemua suspek berusia antara 30 dan 50 tahun. Tiga daripada mereka ditahan di Kuantan manakala seorang lagi di sini.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.30 pagi Khamis untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
#bauksit
#Jabatan Mineral dan Geosains
#Kuantan
#perlombongan haram
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia