Empat individu dipenjara 20 bulan kerana sembunyikan mayat

Bernama
September 6, 2024 19:33 MYT
Majistret membuat keputusan itu selepas Lok Kian Seng, Daniel Ho Chin Cher, Woon Chee Weng dan Lim Chien Voon mengaku atas dua pertuduhan pilihan. - Gambar hiasan
MELAKA: Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap empat individu, kerana menyembunyikan kematian dua lelaki pada Julai tahun lepas.
Majistret Khairunnisak Hassni membuat keputusan itu selepas Lok Kian Seng, 48, Daniel Ho Chin Cher, 34, Woon Chee Weng, 45, dan Lim Chien Voon, 42, mengaku atas dua pertuduhan pilihan.
Keempat-empat lelaki itu didapati secara bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas, dengan sengaja dan mempunyai sebab untuk menghilangkan keterangan bagi suatu kesalahan dengan menyembunyikan kematian Stanley Chew Kok Kin, 23, dan Soo Yao Long, 26.
Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 7 hingga 10 Julai 2023.
Kesemua lelaki itu didapati melakukan kesalahan di bawah Sesyen 201 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Sesyen 34 kanun yang sama, yang jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.
Terdahulu peguam Nahdan Rengganathan Abdullah yang mewakili Daniel dan Lim, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan masing-masing hanya bekerja sebagai penjual buah dan penghantar makanan.
Beliau berkata tertuduh juga telah mengalami tekanan mental selepas didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 11 Ogos tahun lepas.
Lok yang diwakili peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah dan Woon yang tidak diwakili peguam pula, merayu agar hukuman diringankan dengan alasan mempunyai tanggungan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tindakan tertuduh membuang mayat tersebut, membuatkan polis kehilangan peluang mencari punca kematian mangsa.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan penjara bermula dari tarikh ditahan iaitu 20 Julai 2023 bagi tiga tertuduh, manakala Lim pada 23 Julai 2023.
Media pada 10 Julai 2023 melaporkan mayat dua lelaki bertatu dipercayai dibunuh ditemukan di dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang di Cheng, dalam keadaan dibungkus di dalam kanvas dengan diikat menggunakan tali kabel.
-- BERNAMA
#empat individu dipenjara #sembunyikan mayat #Mahkamah Majistret Ayer Keroh #menghilangkan keterangan
;