Empat hilang, dua selamat dalam kejadian tongkang karam dekat Pulau Bruit
Bernama
November 27, 2016 22:47 MYT
November 27, 2016 22:47 MYT
Seorang juragan dan tiga awak-awak dipercayai hilang manakala dua lagi terselamat apabila sebuah tongkang membawa muatan batu kelikir karam di perairan Laut Cina Selatan, berhampiran Kampung Betanak, Pulau Bruit, Mukah kira-kira 8.30 pagi tadi.
Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Tengah, Abdul Mutalib Rashid berkata, dua awak-awak tongkang itu yang terselamat ialah, Melvin Francis, 20, dari Serian dan Kenny Clement, 18 dari Bintangor.
Kedua-dua mereka sedang bekerja di atas tongkang itu apabila cuaca tiba-tiba menjadi buruk, menyebabkan tongkang itu tidak stabil seterusnya terbalik.
"Dalam kejadian yang berlaku antara 9 dan 10 malam tadi (Sabtu), kedua-dua mangsa selamat setelah berpaut pada buritan tongkang sebelum diselamatkan seorang nelayan bernama Sarbini Salohie yang kebetulan lalu di kawasan kejadian awal pagi tadi," katanya.
Abdul Mutalib berkata mereka telah dibawa ke Klinik Kesihatan Daro untuk menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Kejadian itu kemudiannya dilaporkan oleh pemilik tongkang itu, Chin Ah Soon pada 8.33 pagi hari ini.
Empat mangsa yang masih hilang iaitu kapten tongkang Pawi Nyawan, 50-an, pasangan suami isteri yang hanya dikenali sebagai Kamal dan Mera, 30-an dari Debak dan seorang warga Indonesia Angga Wahyudi, 24.
Katanya, keempat-empat mangsa itu sedang tidur di kabin ketika kejadian itu berlaku.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilaksanakan dan dibahagikan kepada empat sektor diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di bawah kendalian Leftenan Maritim Shikh Mohd Faizul Izhab.
Turut terlibat dalam operasi meliputi kawasan lima batu nautika dari pesisir pantai itu ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Polis Marin dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Operasi terpaksa ditangguh berikutan hujan, angin kencang dan keadaan perairan bergelora pada pukul 4 petang tadi dan akan disambung semula esok. -- Bernama
#Jabatan Bomba dan Penyelamat
#kapal karam
#Mukah
#Pasukan Polis Marin
#Pertahanan Awam Malaysia
#Pulau Bruit