Empat hilang dalam insiden tembakan di perairan Pegasus Reef
Ridzal Abdullah
Disember 7, 2018 00:15 MYT
Disember 7, 2018 00:15 MYT
Susulan kejadian tembak bot tunda pada Rabu, Polis Sabah pada Jumaat memaklumkan pihaknya menerima laporan empat lelaki hilang dari sebuah bot nelayan di kawasan berdekatan perairan Pegasus Reef.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, ketika pasukannya menjalankan siasatan ke atas bot tunda itu, pihaknya turut menemui sebuah bot nelayan berdekatan lokasi kejadian tanpa ada individu di atas bot tersebut.
Beliau berkata, pada hari sama, Rabu, pihaknya turut menerima laporan polis daripada pemilik bot nelayan melaporkan seorang tekong dan tiga kru hilang.
Bagaimanapun, setakat ini pihaknya belum pasti sama ada mereka diculik oleh empat lelaki bersenjata yang menyerang bot tunda atau sebaliknya dan masih menjalankan siasatan lanjut.
Empat yang hilang dipercayai dua warga asing dan dua warga tempatan berusia 19 hingga 45 tahun.
Menurut sumber Astro AWANI, warga asing terbabit dikenali sebagai Hariadin dan Heri.
Manakala, warga tempatan salah seorang dikenali sebagai Wahid dan seorang lagi belum dikenal pasti.
Pemilik bot melaporkan kehilangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dan semuanya dipercayai tinggal di Sandakan.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan bot tunda yang dalam perjalanan dari Sarawak ke Papua New Guinea diserang empat lelaki bersenjata lengkap bersenjata.
Dalam kejadian itu, seorang kru bot cedera di kaki kiri akibat terkena tembakan.