Empat hab halal baharu di Perak - Exco

Aida Aziz
November 22, 2021 15:01 MYT
Zainol Fadzi semasa Program Lawatan dan Sesi Engagement Bersama Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Halal Park Mara, Tambun hari ini. - Astro AWANI
IPOH: Perak sudah mengenal pasti empat lokasi hab halal baharu yang akan diwujudkan di pekan kecil, dalam usaha merancakkan industri kecil dan sederhana (IKS).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, empat lokasi berkenaan adalah di Sungai Manik, Rungkup, Tanjung Tualang dan Lenggong.
"Ketika ini Perak hanya mempunyai satu hab halal di Tambun dan kita cuba untuk meneroka lagi di tempat lain.
"Jadi, pada peringkat permulaan kita mulakan di daerah Hilir Perak iaitu di kawasan pekan kecil Sungai Manik,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Lawatan dan Sesi Engagement Bersama Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Halal Park Mara, Tambun di sini pada Isnin.
Zainol Fadzi berkata, perkara itu akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Exco kerajaan negeri tidak lama lagi.
Menurutnya lagi, pembangunan hab halal memerlukan modal yang tinggi untuk tujuan naik taraf, bagi memenuhi spesifikasi halal yang diperlukan.
"Kita akan cuba mengangkat keempat-empat lokasi ke arah halal hab pekan kecil.
"Jadi, kenapa tidak kalau kita mengubah empat pekan kecil yang ada itu terus dibina menjadi hab halal," ujarnya.
Beliau berkata, usaha itu turut membuka peluang kepada usahawan untuk memajukan perniagaan mereka, khususnya ketika pandemik.
Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, sebanyak RM600,000 diperuntukkan untuk Program Pensijilan di bawah Program Business Enrichment, Standardization and Transformation (BEST) pada tahun ini.
"Program BEST adalah program pensijilan keusahawanan bagi membantu meningkatkan penyelarasan, produktiviti dan transformasi syarikat untuk menilai sistem pelaksanaan perniagaan dan pengeluaran produk sedia ada mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh agensi atau pihak berautoriti yang terbabit," katanya.
Katanya, menerusi program berkenaan, sebanyak RM545,000 diluluskan di bawah program pensijilan setakat Oktober lalu.
"Antara pensijilan yang dilaksanakan ialah Halal, Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Pengiktirafan International Brand Laureat, Pensijilan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan pensijilan ISO membabitkan 98 syarikat," katanya.
Terdahulu, Zainol Fadzi meninjau fasiliti dan menyantuni para usahawan di Halal Park Tambun, yang rata-rata di antara mereka menjual produk tersendiri termasuk makanan sejuk beku dan IKS.
#hab halal #Perak
;