Empat ditahan, menyamar anggota polis lakukan samun

Adie Sufian Zulkefli
Disember 5, 2021 19:22 MYT
Tindakan empat lelaki menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan samun di Kampung Jeram, Merbau Pulas, Kuala Ketil gagal apabila kesemua mereka berjaya ditahan. - Foto ihsan polis
KULIM: Tindakan empat lelaki menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan samun di Kampung Jeram, Merbau Pulas, Kuala Ketil gagal apabila kesemua mereka berjaya ditahan.
Suspek menggunakan senjata api mainan ketika menyamun seorang wanita berusia 42 tahun dengan memberi alasan kononnya mahu melakukan pemeriksaan ke atas rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi, di mana suspek memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta mangsa membuka pintu rumah.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun enggan mengikut arahan membuatkan suspek memecah masuk melalui pintu belakang.
"Salah sorang suspek mengacukan senjata api mainan dan meminta mangsa masuk ke bilik sebelum mereka mengikat tangan mangsa menggunakan pengikat kabel.
“Suspek yang lain menyelongkar almari namun dalam keadaan kelam kabut itu adik perempuan mangsa pulang dan dia yang terkejut melihat kelibat individu tidak dikenali di dalam rumah itu lalu menjerit meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas Sazalee, jeritan adik mangsa membuatkan keempat-empat suspek bertempiaran lari namun salah seorang daripada mereka berjaya ditahan jiran selepas berlaku pergelutan sebelum diserahkan kepada polis.
Katanya, siasatan lanjut mendapati lelaki yang ditahan itu adalah abang kepada seorang lagi suspek yang berusia 26 tahun dan susulan daripada itu polis berjaya memberkas semua suspek dalam serbuan di Sungai Petani, jam 3 pagi hari ini (Ahad).
Sazalee berkata, dalam serbuan itu polis merampas barang kemas milik mangsa yang dilarikan bernilai RM10,000, senjata api mainan dipercayai dibeli secara dalam talian dan tukul yang digunakan suspek ketika melakukan samun.
Hasil semakan mendapati semua suspek berusia 24 hingga 38 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kita percaya mereka baru menubuhkan kumpulan ini untuk melakukan samun dengan menggunakan taktik menyamar polis,” ujarnya.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
#menyamar anggota polis #samun #Kampung Jeram #Merbau Pulas
;