Empat ditahan kes bunuh, bakar
Sinar Harian
Februari 16, 2022 16:08 MYT
Februari 16, 2022 16:08 MYT
ALOR SETAR: Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang dipercayai ditetak dan dibakar di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala, dekat sini, pada Selasa.
Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.
"Sehingga kini, empat tangkapan telah dilakukan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
"Bedah siasat terhadap mangsa pula dijangka dilakukan pada jam 10 pagi hari ini," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.
Pada Selasa, media melaporkan mangsa berusia lingkungan 50-an dipercayai dibunuh antara jam 6.30 hingga 7 pagi.
Siasatan awal polis mendapati terdapat kesan tetakan pada bahagian tangan dan muka mangsa sebelum dibakar di sebuah bilik di tingkat satu bangunan berkenaan.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN