Empat direman menyamar pegawai SPRM, minta suapan RM2 juta

Astro Awani
November 10, 2018 04:15 MYT
Pada Jumaat, SPRM menahan tiga individu pada pukul 3.00 petang dan seorang lagi ditahan pada pukul 8.15 malam. - Gambar hiasan
Empat individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Ia bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan sebanyak RM2 juta untuk menyelesaikan kes melibatkan seorang individu berpangkat Datuk Seri.
Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan permohonan reman SPRM mulai hari ini sehingga 15 November ini.
Pada Jumaat, SPRM telah menahan tiga individu pada pukul 3.00 petang dan seorang lagi ditahan pada pukul 8.15 malam.
Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 33 hingga 49 tahun itu ditahan di sebuah kelab golf terkemuka di Sungai Buloh, Selangor manakala seorang lagi suspek berusia 37 tahun ditahan di rumahnya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
Menurut sumber, keempat-empat lelaki berkenaan bersubahat untuk meminta wang suapan sebanyak RM2 juta daripada seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang didakwa mempunyai kes membabitkan SPRM.
Tambah sumber, susulan penahanan itu, SPRM telah merampas tujuh telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan daripada keempat-empat suspek berkenaan serta wang tunai berjumlah RM48, 350 daripada salah seorang suspek.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
#Azam Baki #Datuk Seri #kelab golf #menyamar #pegawai SPRM #reman #SPRM #suspek #wang suapan